KUALA LUMPUR: Gabungan Masyarakat Sivil, Gugusan Kebebasan Bersuara (FEC) menyuarakan bantahan terhadap pengisytiharan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.

Ini kerana, ia beranggapan pelaksanaan ordinan itu mengehadkan ruang demokrasi selain ordinan berkenaan mencabar pelaksanaan prinsip hak asasi manusia.

Sehubungan itu, jurucakap FEC, Wathshlah Naidu berkata, pihaknya menuntut pembukaan semula Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab  melulus dan meminda undang-undang Persekutuan dan memeriksa dasar-dasar kerajaan dengan serta-merta.

"Ordinan Darurat ini membayangkan usaha berterusan oleh pentadbiran ini dalam menggunakan apa-apa cara bagi mengetepikan prinsip-prinsip hak asasi serta kebebasan.

"Kami bimbang dengan kemungkinan ordinan ini disalahgunakan bagi menutup sebarang bentuk kritikan atau perbincangan yang mungkin dilihat sebagai menggugat kedudukan kerajaan sedia ada," katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan aman di Parlimen pada Ahad.

Dalam pada itu, Wathshlah berkata, adalah penting untuk memfokus kepada bahayanya sesuatu undang-undang dikuatkuasakan tanpa melalui proses sistem demokrasi.

"Dalam konteks ini, ordinan darurat 'berita palsu' membenarkan tindakan yang berat dikenakan terhadap pelaku tanpa proses undang-undang yang adil dan sewajarnya.

"Ia juga menafikan perlindungan kepada 'whistleblower' atau individu yang berkongsi pandangan peribadi. Ia mengancam pertanyaan kritikal terhadap keberkesanan dasar-dasar kerajaan dan menafikan prinsip
kebertanggungjawapan.

Hal ini mewujudkan suasana yang berbahaya untuk kewartawanan yang baik, perbincangan terbuka terkait maklumat-maklumat penting, serta pertimbangan tentang hal-hal yang memberi kesan kepada setiap rakyat Malaysia," katanya lagi.