IPOH: Orang Besar Jajahan Perak Tengah Datuk Ahmad Ruslan Mohd Ridzuan meninggal dunia pada 7.53 pagi tadi.

Pembantu Khas Orang Besar Jajahan Perak Tengah, Tajul Urus Hamid yang mengesahkan perkara itu berkata Ahmad Ruslan meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Teluk Intan.

Beliau berkata Allahyarham menghidap penyakit kanser sejak hampir setahun lalu dan berulang-alik ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Tajul Urus berkata jenazah akan disolatkan di Masjid Paloh di sini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan masjid itu selepas solat Asar.

Beliau berkata Ahmad Ruslan pernah menjadi pensyarah jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA kampus Shah Alam dan bersara pada 2018 sebelum dilantik sebagai Orang Besar Lapan pada 2020.

Ahmad Ruslan kemudian dilantik sebagai Orang Besar Jajahan Perak Tengah pada 1 Jan 2023.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki serta seorang cucu perempuan.

-- BERNAMA