Orang Asli minta baiki jalan sebelum tengkujuh, Jakoa tunggu masa sesuai
Kerja-kerja baik pulih bagi mengatasi masalah kerosakan jalan di Pos Gob antara senarai keutamaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang telah diberi perhatian untuk dilaksanakan.
Bernama
Wed Nov 06 2024
Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan awal sebelum musim tengkujuh bagi mengatasi masalah kerosakan jalan utama ketika hujan. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Kerja-kerja baik pulih bagi mengatasi masalah kerosakan jalan di Pos Gob antara senarai keutamaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang telah diberi perhatian untuk dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Jakoa Datuk Sapiah Mohd Nor
Beliau berkata masalah jalan berkenaan sudah ada dalam perancangan pihaknya dan akan menggunakan peruntukan sedia ada yang diberikan kerajaan pada tahun ini.
"Dalam perancangan Jakoa, berdasarkan peruntukan sedia ada dan dalam masa yang sesuai kerja-kerja baik pulih jalan akan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ahad lepas, media melaporkan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob yang terdiri daripada kira-kira 1,000 penduduk berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan awal sebelum musim tengkujuh bagi mengatasi masalah kerosakan jalan utama ketika hujan.
Ia berikutan laluan itu satu-satunya akses untuk mereka melakukan urusan harian dan adakalanya terpaksa meredah jalan berlumpur atau berdepan situasi tayar motosikal terbenam di dalam lecah.