Penduduk Orang Asli di Kelantan perlu diberi kawasan tanah baharu untuk mereka melakukan aktiviti pertanian, kata Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan permasalahan penduduk berkenaan yang kini terhimpit dalam arus pembangunan itu kepada kerajaan negeri Kelantan.

"Kerajaan negeri perlu peka dan prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli yang tinggal di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan RISDA di sini, malam Ahad.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata di Sungai Rual di Jeli misalnya, jumlah penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan juga telah bertambah dan memerlukan kawasan tanah baharu untuk mereka bertani.

"Ketika perkampungan itu dibuka, hanya ada 165 keluarga melibatkan 691 penduduk sahaja, namun disebabkan migrasi, penduduk Orang Asli di kawasan itu semakin bertambah," katanya.

"Kami (parlimen Jeli) akan menyiapkan kertas kerja berkaitan masalah yang dihadapi Orang Asli di kawasan itu yang meliputi aspek pembangunan sosioekonomi mereka pada masa hadapan," katanya.