Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata setakat 23 Jan, sebanyak 24 kes dikenal pasti tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan membabitkan bas ekspres daripada sembilan syarikat.
"Kesemua bas ekpres itu tidak dibenarkan beroperasi sehingga pihak syarikat pengendali membaiki kesemua kesalahan yang dikesan dan lulus tahap piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah masalah tekanan brek, tayar, lampu dan cermin belakang yang tidak menepati piawaian," katanya kepada pemberita pada operasi pemeriksaan di Melaka Sentral di sini malam tadi.
Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Khalil dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas lanjut, Hameed berkata dalam tempoh operasi bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina 2025 hingga 9 Feb itu, sebanyak 2,000 bas ekspres dianggarkan keluar masuk di terminal Melaka Sentral dengan membawa sebanyak 80,000 penumpang.
Beliau berkata JPJ Melaka juga akan melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres di lima depoh bas di negeri ini dan di terminal Melaka Sentral sepanjang tempoh kempen Pandu Cermat Selamat Sampai bersempena dengan Tahun Baharu Cina.
"Pemeriksaan ini bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga buku log setiap bas ekspres selain memastikan pengendali bas ekspres menjelaskan tunggakan saman JPJ atau polis bagi memastikan kelancaran perjalanan sekali gus keselamatan semua pihak," katanya.
Hameed berkata sebanyak 177 pemandu bas ekspres juga menjalani ujian saringan air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Pada pemeriksaan semalam, seorang pemandu lelaki berumur 20-an yang sepatutnya dijadualkan membawa penumpang ke utara tanah air didapati positif methamphetamine," katanya.
-- BERNAMA