Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan lanjut susulan serbuan ke atas 20 rumah amal GISB di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
"Kita sedang memantau rapat 39 rumah amal yang dipercayai kendalian GISB di seluruh negara.
"Kita mungkin akan membuat tindakan selanjutnya seperti serbuan yang dilakukan ke atas 20 rumah amal sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Razarudin menegaskan, fasa kedua siasatan yang dilakukan pihaknya berhubung dakwaan itu adalah termasuk serbuan ke atas 20 rumah amal baru-baru ini, hasil pemantauan PDRM selama enam bulan.
"Kita telah menyiasat syarikat itu sejak 2011 dan pernah bertemu wakil dari Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat (Pukas) sebelum dakwaan mengenai GISB tular di media sosial.
"Mereka (Pukas) adalah antara yang memberikan kami maklumat awal yang memudahkan kami melihat dan teliti semula berasaskan laporan yang dibuat terhadap GISB sebelum ini," ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, siasatan polis juga dilakukan berpandu kepada satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli GISB dari Negeri Sembilan, namun kemudian ditarik balik.
Wanita itu katanya, kemudian membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.
"Jadi dengan berpandu maklumat ini, polis memulakan fasa pertama Op Global dengan bantuan Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
"Mereka mula mengumpul risikan untuk meneliti kes ini. Malah, saya juga ada menghadiri beberapa mesyuarat dengan wakil Cawangan Khas dan JSJ dan diberi taklimat mengenai hasil siasatan dua hari sebelum serbuan ke atas rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan itu dilakukan," ujarnya.
Sebelum ini, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Razarudin juga mengesahkan 13 daripada kanak-kanak terbabit disyaki diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.