PUTRAJAYA: Inisiatif penubuhan Ombudsman Malaysia, yang menjadi platform untuk orang awam menyalurkan aduan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan, merupakan satu milestone penting bagi negara dalam usaha menambah baik tadbir urus dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Ombudsman ialah badan bebas yang mengamalkan kesaksamaan dalam menyelesaikan kes aduan salah tadbiran.

Beliau berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, telah memulakan inisiatif penubuhan Ombudsman Malaysia itu di mana Draf Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia telahpun disediakan, dan kini dalam tindakan penambahbaikan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

"Saya berharap agar Ombudsman Malaysia yang bakal ditubuhkan nanti, akan menjadi penyambung legasi Biro Pengaduan Awam dan menjadi pelengkap kepada kerajaan, dalam menegakkan ketelusan dan akauntabiliti," katanya pada Majlis Anugerah Biro Pengaduan Awam di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Anesee Ibrahim.

Pada 14 Jun lepas, Ketua Pengarah BPA S. Letchumanan berkata penubuhan Ombudsman Malaysia, bertujuan untuk menggantikan dan menambah baik fungsi Biro BPA, dalam menyelesaikan aduan awam dan menggalakkan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.

Letchumanan berkata penubuhan Ombudsman Malaysia juga ialah untuk memastikan badan itu mempunyai kuasa yang jelas untuk menyiasat sesuatu aduan diterima.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata sekiranya pengurusan aduan awam dijadikan sebagai teras strategik di kementerian dan agensi, perkhidmatan awam negara akan menjadi lebih baik dengan jumlah aduan yang diterima dapat dikurangkan.

"Jumlah aduan ini merupakan kayu pengukur terhadap keberkesanan perkhidmatan yang disediakan. Dalam pengurusan aduan awam yang efektif, pendekatan yang terbaik dan perlu ialah dengan menganggap aduan itu sebagai suatu hadiah.

"Agensi perlu melihat ia sebagai satu peluang untuk menambahbaik perkhidmatan kita dan bukan satu masalah yang menyusahkan," katanya.

Mohd Zuki berkata aduan yang substantif, yang mempunyai merit dan asbab yang munasabah perlu dimanfaatkan, untuk menambah baik sebarang kelemahan dalam prosedur, piagam pelanggan, pengurusan organisasi dan sistem penyampaian perkhidmatan agensi.

Beliau turut meminta pengurus aduan untuk menerapkan elemen lebih fleksibel, dalam mencari jalan penyelesaian.

"Pendekatan mesra pengadu boleh mengurangkan tekanan, tidak rigid dan perlu dalam pelbagai arah, memandangkan sebahagian penyelesaian juga memerlukan input dari pelbagai agensi," katanya.

Mengenai program naziran iaitu Raqib MADANI, Mohd Zuki meminta program yang telah dilaksanakan di semua kementerian tahun ini, turut diperluaskan ke pentadbiran kerajaan negeri.

Raqib MADANI dilaksanakan untuk memastikan pematuhan kepada pekeliling atau peraturan-peraturan pengurusan aduan awam, yang sedang berkuat kuasa.

Pada majlis itu, sembilan daripada 26 kementerian yang dinilai melalui program Raqib MADANI, menerima anugerah kerana memperoleh pencapaian cemerlang.

-- BERNAMA