Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu lalu, ditemui mati dalam perigi lama yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Padang Halban, di
sini.

Mayat Fadzil Hussain, 56, dijumpai seorang kontraktor yang sedang membuat pagar asrama Sekolah Agama At-Toyyibah kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Mohd Nizam Abdul Hamid, 35, berkata dia terlihat mayat tersebut ketika hendak membuang air kecil di kawasan perigi itu.

"Ketika saya menjengok ke dalam telaga, saya nampak baju dan sangkakan ada orang buang baju...bila saya perhati semula, saya nampak tengkorak manusia di sebelah baju tu dan saya terus beritahu kepada cikgu sekolah itu dan hubungi polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Mohd Nizam berkata dia turut terjumpa sepasang but dan dompet di tepi perigi berkenaan dipercayai milik Fadzil.

Sementara itu, ibu saudara Fadzil, Mahyun Ramli, 53, berkata selain membuat laporan polis, keluarganya turut meminta pertolongan 17 bomoh dan membuat operasi mencari Fadzil di serata kampung termasuk kawasan hutan berhampiran, namun gagal menemuinya.

Katanya Fadzil yang tidak berkahwin tinggal seorang diri di rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) berhampiran rumahnya selepas kematian ibu bapanya.

"Dia hanya tidur di rumah itu. Selalunya dia akan datang ke rumah kami (ibu-ibu saudara) untuk makan sebab kami tinggal dekat-dekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamed Yusuf ketika dihubungi berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.