JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal yang nyaris digilis sebuah lori selepas hampir melanggar sebuah kon di Jalan Kempas Lama-Seelong yang tular di media sosial baru-baru ini sudah membuat laporan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam pada Jumaat lalu.

"Lelaki berusia 28 tahun yang menunggang motosikal itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Johor Bahru Utara lebih kurang jam 2 pagi pada Sabtu. Mangsa dilaporkan mengalami luka ringan.

"Kejadian ini kemudiannya tular di mana video yang dikongsikan itu memaparkan seorang penunggang motosikal nyaris digilis sebuah lori selepas hampir melanggar kon yang diletakkan di atas jalan yang sedang diselenggara di Jalan Kempas Lama-Seelong," katanya.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang penunggang motosikal nyaris dilanggar sebuah lori selepas hampir melanggar kon di Jalan Kempas Lama- Seelong pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Op Bersepadu Bas Pekerja Kontinjen Johor di Taman Impian Emas, Skudai di sini pada Selasa.

Ayob Khan turut memberi peringatan kepada kontraktor penyelenggaraan jalan raya di negeri ini agar memastikan kon yang diletakkan di atas jalan raya berisi air atau pasir.

Katanya langkah itu penting bagi memastikan kon tidak bergerak jika kenderaan bermuatan berat seperti lori dan bas melalui jalan raya yang sedang dalam penyelenggaraan itu.

"Pastikan ada pemakluman dibuat kepada ketua polis daerah terhadap sebarang kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan mereka meletakkan kon, jika gagal tindakan tegas akan diambil.

"Saya tidak mahu bila sudah berlaku sesuatu insiden baru hendak ambil tindakan. Sudah banyak insiden yang berlaku sebelum ini dan perlu dijadikan pengajaran," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian