KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon kerajaan untuk mewujudkan kuota anggota tetap bagi kesatuan itu dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata NLAC ialah badan ditubuhkan kerajaan bagi membolehkan Menteri Sumber Manusia mendapatkan nasihat, pandangan atau persetujuan mengenai perkara berkaitan perburuhan dan sumber manusia di negara ini.

Beliau berkata NUTP juga menyokong langkah kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam seperti dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Sept lepas bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan relevan dengan keperluan semasa.

"Pada masa sama, NUTP mengharapkan agar reformasi yang bakal berlaku tidak mengurangkan manfaat sedia ada dalam profesion keguruan khasnya laluan kenaikan pangkat secara berasaskan masa," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Fouzi berkata NUTP teruja dan berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong kerana memilih kesatuan itu dalam rangka kerja untuk berjumpa pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja, baru-baru ini.

Beliau berkata kunjungan itu jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia.

"Kunjungan ini memberikan satu harapan besar kepada pihak kesatuan dalam mengangkat dan membela nasib pekerja-pekerja di negara ini," katanya menambah kunjungan itu menjadi pemangkin untuk kerjasama lebih erat antara kesatuan sekerja dengan KESUMA.

Fouzi berkata NUTP akan terus menyokong idealisme dan hala tuju KESUMA serta bersedia bekerjasama dengan lebih erat bagi menjadikan perjuangan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan menjadi satu kenyataan.

Selain itu, beliau memaklumkan NUTP merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada penjawat awam kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional.

"Hal ini membuktikan bahawa kerajaan MADANI sangat prihatin terhadap isu-isu kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam," katanya.

-- BERNAMA