Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata jagaan sementara berkenaan adalah atas permintaan ibu bapanya setelah mengambil kira faktor keselamatan.
Rohani dalam satu kenyataan pada Ahad berkata kementeriannya memandang serius tentang perbuatan Amirah, sehingga menimbulkan kebimbangan banyak pihak terutama ibu bapa.
Jelasnya, ibu bapa dan penjaga disarankan supaya memberi perhatian yang serius kepada anak masing-masing terutama meluangkan lebih masa bersama anak-anak serta mendengar masalah yang mungkin boleh dikongsikan bersama
"Jangan biarkan anak-anak menjadikan pihak ketiga untuk meluahkan masalah dan mendapat nasihat yang kurang tepat.
"Oleh yang demikian, kementerian ingin menyarankan ibu bapa yang berdepan dengan masalah ini boleh mendapatkan khidmat nasihat dari kaunselor JKM, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)," kata Rohani.
Kes culik palsu - apa kata pakar psikologi
Tambahnya, orang ramai serta semua saluran media termasuk media sosial disarankan supaya menimbang untuk tidak memberi liputan yang keterlaluan dalam kes ini.
Rohani berkata, kementeriannya berpandangan liputan yang keterlaluan boleh memberi kesan yang negatif kepada kanak-kanak dan ahli keluarga.
"Pendedahan gambar-gambar boleh meninggalkan kesan yang tidak baik daripada segi psikologi. Oleh itu, berilah ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan rapi kes ini."
Beliau juga berkata pihaknya melalui JKM akan mengikuti perkembangan kes ini dan akan menyediakan apa juga jenis bantuan yang difikirkan sesuai dengan kanak-kanak tersebut termasuk ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.