KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Editor Video Astro AWANI, Ahmad Hafiz Azhar Nordin, 36, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pagi tadi.


Ringkasan AI
  • NUJ dan GERAMM menzahirkan rasa dukacita atas pemergian editor video Astro AWANI, Ahmad Hafiz Azhar Nordin, 36, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pagi tadi.
  • Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar, yang mesra disapa sebagai Randy, dikenang sebagai seorang yang dedikasi dan komited dalam tugasnya. Beliau meninggalkan isteri dan dua anak lelaki.
  • Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka.


NUJ dan GERAMM dalam satu kenyataan bersama menyifatkan Allahyarham, yang mesra disapa sebagai Randy, meninggalkan kenangan sebagai seorang yang dedikasi dan komited dalam tugasnya.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham, sahabat, dan seluruh warga Astro AWANI.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah," tulis kenyataan itu.


Dalam kejadian jam 7.46 pagi tadi, Allahyarham yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja terbabas di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX), di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan berkata Ahmad Hafiz Azhar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Jenazah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) untuk bedah siasat, dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35, dan dua anak lelaki, masing-masing berusia lima tahun dan sembilan bulan.