Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata notis permintaan Malaysia bagi penahanan empat suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong-nam, kepada Interpol masih pada tahap merah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan Malaysia menyerahkan kepada kebijaksanaan Interpol untuk menilai dan menguruskan isu berkenaan.

"Saya berpendapat, presiden Interpol yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri China, Meng Hongwei akan mengarahkan Pengarah Eksekutif Interpol, Jargon Stock, menangani isu itu berasaskan prosedur operasi standard (SOP) dan bantuan undang-undang bersama (MAL).

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-Cawangan Umno Bersama Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Kota Marudu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Pada 16 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Malaysia menerima 'Interpol Red Notice' daripada Interpol bagi penahanan empat suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam. -- Bernama