SEJAK beberapa hari lalu, ratusan pekerja asing tanpa dokumen telah ditahan dan dihantar ke depoh-depoh tahanan imigresen.
Ribuan lagi menanti hari untuk diserbu dan ditangkap.
Jumlah pekerja asing itu bukan sedikit, dikatakan menjangkau hingga 4 juta sebagaimana yang dilaporkan oleh beberapa media utama.
Video terbaharu yang disiarkan di YouTube terbitan Al-Jazeera juga membongkar industri mewah dan licik yang melibatkan banyak pihak.
Sekarang ini kelihatannya negara kita bukan sahaja menjadi tumpuan pekerja asing Rohingya Bangladesh dan Indonesia semata-mata, malah warga China dan India termasuk Afrika.
Mereka menjadikan Malaysia sebagai ‘safe haven’ untuk mendapatkan pekerjaan dan juga melakukan pelbagai aktiviti jenayah.
Pelbagai laporan juga jelas mendedahkan bagaimana Malaysia menyediakan pelbagai tarikan dan kemudahan untuk aktiviti berkaitan jenayah yang melibatkan kumpulan pekerja asing ini.
Pasar Borong Selayang, Bandar Diraja Klang, tapak-tapak pembinaan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak, Johor Bahru dan lain-lain lagi adalah tempat yang 'selamat' untuk mereka.
Konsep ‘demand and supply’ menjadikan industri ini akan terus subur dan berkembang dari semasa ke semasa.
Pembangunan fizikal yang rancak dan pesat di negara ini menjadikan permintaan untuk tenaga kerja buruh murah dan segera amat diperlukan.
Malah eksploitasi yang boleh dilakukan ke atas pekerja asing ini juga akan menjadikan mereka sebagai sasaran ampuh oleh lanun-lanun dan penjenayah ini.
Lambakan syarikat pembinaan termasuk yang dimiliki oleh negara luar terutamanya China juga dikatakan sebagai faktor yang menggalakkan berlakunya jenayah berkaitan pekerja asing ini.
Pemain utama dalam industri pembinaan menyediakan kehidupan di rumah-rumah kongsi kepada golongan pekerja asing ini.
Perumahan pekerja yang rata-ratanya tidak tersusun dan kotor yang terletak di kawasan pembinaan tersebut telah menjadi kawasan persembunyian paling selamat untuk kumpulan pekerja asing ini.
Dipercayai ramai antara mereka yang tidak mempunyai dokumen atau memiliki dokumen tamat tempoh mahupun mempunyai dokumen tidak sah atau palsu tinggal di kawasan-kawasan penempatan tersebut.
Tidak terancangnya penempatan pekerja asing ini telah membawa kepada masalah yang lebih besar kepada Malaysia.
Golongan pekerja asing telah berjaya membina koloni-koloni di pelbagai kawasan dan daerah yang dirasakan sesuai oleh mereka.
Maka akhirnya pelbagai aktiviti tidak sihat juga muncul dalam komuniti ini termasuklah jenayah.
Pemerdagangan manusia yang didalangi oleh kumpulan pekerja asing ini juga menjadi satu kebiasaan.
Aktiviti pemerasan dan ugutan hingga ada yang menjadi gangster dapat diikuti di media massa sepertimana kes di Johor baru-baru ini.
Sindiket pemalsuan pasport, kad pengenalan dan lain-lain dokumen juga mudah didapati di kawasan penempatan yang tersembunyi dan tidak terancang ini.
Malah laporan media juga memperlihatkan bagaimana kelompok ini ‘membeli’ penguatkuasa dengan wang ringgit yang juga dikenali sebagai wang perlindungan dan wang kopi.
Melihat kepada isu COVID-19, terasa amat sukarnya kerajaan mendapatkan kerjasama daripada golongan pekerja asing untuk aktiviti saringan kesihatan.
Manakan tidak, perkara ini pasti berlaku kerana mereka tidak berani berhadapan dengan penguatkuasa disebabkan ketiadaan dokumen dan juga pemahaman yang mereka akan ditangkap dan juga perlu membayar sejumlah wang untuk melakukan ujian kesihatan tersebut.
Sejak akhir April hingga artikel ini ditulis, hampir 50 peratus kes baru harian direkodkan oleh KKM datangnya dari kluster pekerja asing.
Malah dipercayai masih ramai lagi belum menjalani ujian kesihatan mahupun melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak berkuasa.
Maka masalah COVID-19 dalam kalangan pekerja asing akan menjadi dilema lama yang tidak berkesudahan.
Pasca COVID-19 yang bakal dilalui Malaysia tidak lama lagi merupakan ujian besar kepada pengurusan pekerja asing di negara ini.
Kerajaan melalui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) akan ditamatkan pada 9 Jun 2020.
Bagaimanakah pengurusan pekerja asing di Malaysia selepas ini? Adakah masih ditakuk lama sebagaimana yang dibincangkan di atas?
Atau sudah ada pembaharuan tuntas bagi mengatasi isu ini yang mungkin juga boleh disebut ‘norma baharu’ pengurusan pekerja asing?
Adakah Malaysia akan menghadapi masalah yang sama? Pasar Borong Selayang dan kawasan-kawasan pembinaan akan terus dihuni dan dikuasai oleh pekerja asing yang rata-ratanya tidak mempunyai dokumen yang sah?
Kerajaan perlu membuat satu keputusan drastik untuk menyelesaikan masalah ini.
Disarankan untuk kerajaan Malaysia belajar dari Singapura, lihat bagaimana pengurusan pekerja asing terutamanya pekerja kelompok 3D yang telah dilakukan oleh pemerintah kota Singa ini.
Semua pekerja asing ditempatkan di satu kawasan penempatan yang tersusun dan bersistematik sebanyak 43 asrama yang menampung lebih 200,000 pekerja asing.
Kesemua mereka mempunyai data dan rekod yang disimpan oleh Kementerian Buruh dan pihak keselamatan Singapura.
Semua data tempat tinggal mereka disiarkan di laman web rasmi Kementerian Buruh.
Pengangkutan dari penempatan atau asrama ke kawasan pembinaan disediakan oleh kontraktor dan diselenggarakan dengan cukup teratur.
Para pekerja asing ini mempunyai peluang untuk keluar dan berhibur dalam masa yang ditetapkan dan tempat-tempat yang telah digazetkan untuk memenuhi tuntutan naluri mereka.
Dengan cara ini, kerajaan Singapura dapat mengetahui segala pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh pekerja asing yang tinggal di negara mereka.
Malah bukan sahaja aktiviti jenayah, apa-apa sahaja aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara akan dapat dikawal sebaiknya.
Oleh sebab itulah, kegiatan ekstremis dan terrorisme di kalangan pekerja asing juga dapat dikekang sejak dari awal lagi.
Walaupun jumlah positif COVID-19 di Singapura mencatatkan jumlah melebihi 700 kes setiap hari sejak akhir April yang lalu, akan tetapi jelas bahawa hanya satu digit atau kurang daripada 10 kes adalah lokal dan selebihnya datang dari kluster pekerja asing.
Keadaan kes yang banyak ini kerana gerakan pengesanan dan ujian kesihatan yang menyeluruh dilakukan oleh kerajaan Singapura di semua asrama pekerja asing yang dimilikinya.
Keadaan ini dijangka akan mengalami penurunan yang drastik dan seterusnya tamat pada Jun nanti.
Oleh itu, kita melihat bahawa Singapura akan berjaya mengawal COVID-19 di negara mereka terutamanya di kalangan pekerja asing kerana sistem pengurusan yang betul dan tepat.
Bahkan, Singapura juga berjaya menyekat kegiatan jenayah dan pemerdagangan manusia kerana meng’sah’kan atau meng’halal’kan proses kemasukan pekerja asing dan dilakukan secara sistematik.
Gerakan pembersihan dan pemutihan serta serbuan jika perlu akan dilakukan di kawasan-kawasan yang telah didaftarkan ini.
Maka natijahnya kerajaan Singapura berjaya mengawal masalah berkaitan pekerja asing ini dengan baik.
Kita perlu belajar dari Singapura, pekerja asing sepatutnya boleh dikawal. Kita yang membenarkan dan membawa mereka masuk dan sepatutnya kita boleh mengawal mereka.
Akan tetapi apa yang berlaku hari ini ialah mereka tidak dikawal malah berjaya mengawal kita pula. Mereka berjaya menguasai pelbagai sektor hingga mengakibatkan kerugian yang besar kepada ekonomi dan produktiviti negara.
Pasca COVID-19 ini memerlukan kerajaan bertindak tegas, pertamanya perlu melakukan gerakan pemutihan dengan pendekatan yang lebih keras.
Keduanya, isi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing ini dengan rakyat tempatan yang secara relatifnya kehilangan pekerjaan disebabkan oleh impak besar COVID-19 ini.
Sudah sampai masanya untuk dahulukan rakyat sendiri yang terhimpit dan menderita kesan COVID-19 ini.
Benarlah kata pepatah, ‘buat baik berpada-pada’, jangan kerana terlalu baik dan sikap tidak ambil peduli memakan diri sendiri, menghancurkan sistem dan mengancam keselamatan negara.
Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Profesor Madya UniMAP dan Pakar Kajian Strategik & Anti Keganasan
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Dr Mohd Mizan Aslam
Thu May 14 2020
Pasca COVID-19 yang bakal dilalui Malaysia tidak lama lagi merupakan ujian besar kepada pengurusan pekerja asing di negara ini - Gambar fail
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
Norma baharu pengurusan pekerja asing pasca COVID-19
Tidak terancangnya penempatan pekerja asing ini telah membawa kepada masalah yang lebih besar kepada Malaysia. Golongan pekerja asing telah berjaya membina koloni-koloni negara masing-masing.