KOTA BHARU: Nisbah pesakit kanser payudara negara meningkat bermula lima tahun lepas, dengan seorang daripada 23 wanita berisiko mendapat penyakit itu, kata Ketua Perkhidmatan Surgeri Payudara dan Endokrin Malaysia, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat, berbanding nisbah seorang daripada 27 wanita yang direkodkan berisiko mendapat penyakit itu sebelum 2020.

Dr Imi Sairi berkata, berdasarkan laporan itu juga didapati, nisbah kaum India lebih tinggi iaitu seorang daripada 17 wanita kaum itu berisiko mendapat kanser payudara, diikuti seorang daripada 19 wanita Cina dan setiap seorang daripada 26 wanita Melayu.

"Ini mungkin berkait rapat dengan perbezaan gaya hidup, pemakanan dan genetik, selain faktor pengambilan rokok atau alkohol," katanya kepada Bernama di Seminar Kanser Payudara anjuran Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik, di sini, pada Khamis.

Dr Imi Sairi berkata, dalam tempoh lima tahun ini juga, pihaknya mendapati hampir separuh pesakit hadir mendapatkan rawatan ketika kanser yang dihidapi sudah berada pada tahap tiga dan empat.

Beliau berkata, penghidap kanser payudara tahap satu dan dua mempunyai peluang hidup lebih tinggi iaitu sehingga 90 peratus, berbanding tahap tiga dan empat dengan hanya 20 peratus daripadanya dapat bertahan dalam tempoh lima tahun selepas rawatan.

"Trend umur pesakit kanser payudara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini juga didapati dihidapi oleh wanita yang lebih muda iaitu seawal 35 tahun, berbanding 40 hingga 50 tahun sebelum ini.

"Oleh itu, saya menasihatkan golongan wanita lebih peka dengan perkara ini dan mengambil langkah mendapatkan rawatan lebih awal, jika mendapati ada tanda-tanda penyakit ini pada mereka," katanya.

Sementara itu, Dr Imi Sairi berkata, terdapat 980 wanita Kelantan didiagnos sebagai pesakit kanser payudara bermula dari tahun 2020 hingga tahun ini, dengan purata umur antara 40 hingga 60 tahun.
- BERNAMA