KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau dan syarikatnya mengalami kerugian dan bukan kerajaan akibat kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Mohamad Salleh, 74, berkata ini kerana wang NFCorp telah dirampas dan kerajaan menggantungkan projek tersebut.

"Saya yang menanggung kerugian, bukan anda (kerajaan). Anda membekukan, merampas wang dan menggantung projek itu. Anda tidak membina rumah penyembelihan.

"Saya telah menghabiskan semua masa saya untuk menjayakan projek itu. Selepas anda merampas wang itu, projek itu tidak dapat diteruskan lagi," kata Mohamad Salleh sambil menambah kerana kerugian yang ditanggung, beliau memfailkan tuntutan balas RM86 juta terhadap kerajaan.

Dia berkata demikian ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali, mewakili kerajaan, pada perbicaraan kes saman kerajaan menuntut NFCorp membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas.

Asliza: Saya menyatakan kepada anda bahawa pertikaian anda mengenai kerugian NFCorp adalah satu dakwaan dan tidak dibuktikan dan disokong oleh dokumen dibentangkan di mahkamah?

Mohamad Salleh: Tidak betul. Kita ada semua bukti.

Mohamad Salleh, yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, menafikan syarikat itu tidak mencapai sasaran pengeluaran 6,000 ekor lembu yang disembelih pada 2010 menurut Laporan Ketua Audit.

"Syarikat itu berjaya membawa masuk lebih 8,000 ekor lembu dari Darwin, Australia. Bagaimanapun, syarikat itu tidak mencapai sasaran pengeluaran lembu kerana kami tidak mempunyai rumah penyembelihan yang mencukupi untuk menyembelih lembu itu," katanya.

Mohamad Salleh, selaku defendan kedua, berkata daripada jumlah itu (8,000), sebanyak 5,743 ekor lembu telah disembelih dari 2008 hingga akhir 2010 di rumah penyembelihan mini yang dibina syarikat itu kerana kerajaan tidak menyediakan kemudahan sedemikian.

"Berdasarkan sasaran pengeluaran, kami perlu menyembelih 700 ekor lembu setiap hari, tetapi rumah penyembelihan mini yang kami bina hanya mampu mencecah 30 ekor lembu sehari.

"Tidak kira berapa banyak lembu yang kami bawa, kami masih tidak dapat memenuhi sasaran kerana kekurangan rumah penyembelihan," katanya.

Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan selaku plaintif tunggal, menamakan NFCorp sebagai defendan pertama manakala Mohamad Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, sebagai defendan kedua hingga kelima.

Selain itu turut dinamakan defendan adalah enam syarikat dikawal keluarga tersebut yang dinamakan "Keluarga Salleh" iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Real Food Corporation Sdn Bhd; Meatworks Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd; Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Dis 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Dakwa plaintif, pinjaman itu disalurkan kepada NFCorp dalam tiga peringkat, dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

Perbicaraan di hadapan hakim Anand Ponnudurai disambung esok.

-- BERNAMA