KUALA LUMPUR: Kira-kira 15.5 peratus atau lebih lima juta rakyat di Malaysia berdepan masalah penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya lima peratus sedar mengenai penyakit yang dihidapi.

Malah, setiap hari, kira-kira 28 individu didiagnos sebagai pesakit yang buah pinggangnya gagal berfungsi secara kekal dan memerlukan dialisis untuk hidup.

Justeru, Pengasas, Pengerusi dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al Safi Ismail tampil dengan rawatan berkonsepkan integratif yang menggabungkan rawatan perubatan moden dan tradisional.

"Kami menggunakan rawatan moden dan tradisional kerana ia menghasilkan impak rawatan yang lebih baik.

"Selain menggunakan ubat-ubatan moden, pada masa sama kami juga menggunakan cara-cara lain seperti bekam klinikal untuk keluarkan urea dan kreatinin dalam badan pesakit.

"Kami juga mengguna pakai perubatan moden seperti sauna infra-merah yang mampu bertindak untuk mengeluarkan toksin," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut memberi penekanan khusus kepada setiap individu yang mendapatkan rawatan seperti diet yang seimbang dan berkualiti.

"Diet ini amat penting kepada pesakit CKD termasuk jenis, kualiti dan kuantiti makanan serta minuman yang diambil mereka.

"Ini akan menjadikan kehidupan mereka lebih baik," ujarnya.

Malah, perkhidmatan yang ditawarkan termasuk melakukan rawatan susulan pasca proses rawatan utama.

Sehingga kini, lebih daripada 5,000 pelanggan khususnya berkaitan dalam CKD telah mendapatkan khidmat terbaik daripada syarikat tersebut.

Untuk maklumat lanjut mengenai Neo Medicare, boleh layari www.neomedicaregroup.com atau elakdialisis.com.