Awak-awak warga Vietnam yang mengendalikan bot nelayan tempatan telah menyelamatkan 11 orang dipercayai warga Indonesia, yang hanyut kira-kira 30 batu nautika dari pantai Terengganu kira-kira
pukul 7 malam tadi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Xavier Thevandas yang mengesahkan kejadian itu berkata, dua buah bot nelayan yang berpangkalan di Chendering itu telah memaklumkan kepada pihaknya tentang perkara itu dan kini mereka dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Perikanan Chendering di sini.

"Mangsa dipercayai warga Indonesia seramai 11 orang telah berjaya diselamatkan, jumlah sebenar (jika ada yang masih hilang) tidak dapat dipastikan atas faktor komunikasi," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, APMM sedia untuk menggerakkan asetnya untuk operasi seterusnya jika ada lagi mangsa-mangsa yang hilang ataupun perlu diselamatkan.

Menurutnya pihak APMM belum dapat mempastikan sama ada warga Indonesia yang diselamatkan itu daripada kapal nelayan ataupun kapal dagang.