PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan digesa memperluaskan sektor pertanian dan penternakan modennya bagi merancakkan lagi ekonomi negeri sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dalam usaha itu Kerajaan Persekutuan sedang mendapatkan kerjasama daripada pelabur bagi dua sektor tersebut yang melibatkan pelaburan syarikat swasta.

"Selain daripada pertanian moden, bidang penternakan di sini juga mempunyai potensi yang perlu dikembangkan. Permintaan tinggi adalah bekalan daging.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bekerjasama dalam aspek penyediaan tapak dan beberapa bantuan lain. Saya berharap projek berkaitan dengan pertanian dan penternakan ini akan dapat dijalankan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) (KSP RMKe-12) Peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini, pada Selasa.

Sementara itu dalam ucapannya Rafizi turut menyarankan kerajaan negeri meneroka dua sektor lain iaitu tenaga baharu dan digital bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negeri.

Beliau berkata Negeri Sembilan mempunyai kelebihan berbanding negeri lain kerana kedudukannya yang strategik berdekatan Lembah Klang.

"Tumpuan berterusan adalah dalam sektor tenaga baharu dan digital kerana (ia dijangka menjadi) pelaburan paling tinggi di dunia bagi tempoh setahun atau dua tahun akan datang," kata Rafizi.

Sementara itu Aminuddin berkata kerajaan negeri komited melahirkan usahawan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi dalam usaha menjadi pengeluar makanan.

"Dalam tempoh enam bulan hingga setahun ini kerajaan negeri dapat memperbanyakkan pemain industri dalam sektor pertanian moden. Kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak yang sesuai di Rembau," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Aminuddin berkata hala tuju pembangunan negeri pada masa ini berdasarkan kepada Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021- 2025 (RPNS) dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2023-2027 (PEDNS).

Beliau berkata, kedua-dua pelan itu dilancarkan pada Disember 2022 sebagai garis panduan pembangunan negeri yang sejajar dengan RMKe-12 serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

"Kedua-dua rancangan pembangunan ini akan menjadi pemangkin bagi pembangunan jangka masa sederhana dan panjang Negeri Sembilan selain menjadi asas perencanaan bagi belanjawan tahunan peringkat negeri mahupun Persekutuan supaya matlamat rancangan pembangunan tersebut dapat direalisasikan sepenuhnya," katanya.

- BERNAMA