Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak mungkin akan menggabungkan NGO beliau dengan Gerakan Harapan Baru (GHB), parti politik yang baharu dilancar Isnin.

GHB merupakan parti yang dianggotai pemimpin PAS yang telah kalah dalam pemilihan parti itu Jun lepas manakala NGO yang dikaitkan dengan Nazir, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Moderate Movement (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut portal The Straits Times, Saifuddin telah mengadakan perbincangan dengan GHB mengenai perkara itu.

Saifuddin berkata kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berkerjasama dengan satu sama lain.

“Contohnya, jika salah seorang daripada kami menubuhkan NGO dan seorang lagi menubuhkan parti, kami akan berkerjasama dan berbincang antara satu sama lain,” beliau dipetik berkata kepada portal itu.

Menyentuh perkara tersebut, ahli Parlimen Parti Buntar Mujahid Yusof Rawa yang merupakan salah seorang ahli GHB berkata beliau akan berbincang tentang isu itu dengan ahli yang lain sebelum mencapai sebarang persetujuan.

Sebelum ini, Nazir telah menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sedang merancang untuk menubuhkan satu parti politik baharu, seperti yang dilaporkan oleh portal berita Asia Sentinel.

Sebaliknya, beliau berkata mereka telah membincangkan tentang penubuhan sebuah NGO, tetapi itu masih satu idea pada masa ini.

Laporan Asia Sentinel itu menyatakan Nazir secara senyap telah bertemu dengan pemimpin perniagaan di United Kingdom dan di Kuala Lumpur untuk membentuk satu entiti politik bukan partisan.

Parti baharu itu dikatakan bertujuan untuk mendekati semua kaum dan menamatkan politik perkauman yang memecahbelahkan rakyat Malaysia.