Kehidupan serba daif Norlaila Abu Samah membesarkan tiga anaknya mendapat perhatian kerajaan negeri Johor apabila kisah mereka disiarkan Astro AWANI pada Sabtu.
BACA: Empat beranak merempat bawah kolong di Skudai dibantu
Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ayob Jamil berkata pihaknya mendapati keadaan penempatan di Jalan Skudai Batu 10 itu tidak sesuai untuk Norlaila membesarkan tiga anak perempuannya yang sedang meningkat remaja.
Penyerahan kunci dilakukan semalam di rumah baharu yang bakal didiami Norlaila dan anak-anaknya.
Jelas Ayob, keluarga itu boleh berpindah masuk ke rumah baharu selepas kesemua proses pemasangan air dan elektrik selesai dilakukan.
"Yang saya fikirkan dari segi keselamatan. Keadaan rumah ini lantai di atas bila-bila masa saja boleh roboh kerana reput.
"Jadi saya ambil keputusan untuk kerajaan negeri beri satu unit rumah PPR di Kempas Permai dan kita serah kunci kepada Norlaila untuk dia pindah beransur-ansur.
Kerajaan Johor juga berbesar hati menguruskan perpindahan sekolah untuk tiga puteri Norlaila.
"Kalau perlu anaknya pindah ke sekolah berdekatan pun kita boleh bantu uruskan," kata Ayob lagi.
Norlaila yang merupakan ibu tunggal dan pesakit kanser melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang dihulurkan dan keterujaan untuk menyambut Hari Raya kali ini di kediaman yang lebih selesa.
"Saya rasa gembira, terima kasih banyak, dengan cepat dapat rumah. Saya akan pindah perlahan-lahan.
"Saya ucap terima kasih kepada mereka yang membantu saya, pihak media yang bantu saya dapat beraya di sana di rumah baharu. Terima kasih banyak," kata Norlaila.
Keterujaan sama disuarakan Nurain Abdullah, anak kedua Norlaila, yang turut tidak sabar untuk berpindah.
"Seronok, sebab nak raya kat rumah baharu. Terima kasih," kata Nurain.
Kisah Norlaila disiarkan Astro AWANI pada Sabtu.