Bapanya, Jaswan Mulop berkata, kerana emosi anaknya ituagak terganggu, doktor membenarkan Adib keluar dari hospital pada Rabu lepas.
"Rabu 22 April, Pakar Optalmologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Jamalia Rahmat benarkan Adib balik sebab emosi dia agak teruk di wad.
"Dia tidak mahu bercakap dan selalu bertanya sudah siang atau belum.
"Ibunya (Ilyana Mohd Ali) terpaksa kata belum. Ibunya kata 'Ibu pun gelap, Adib tidur dahulu'," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Keadaan terkini Adib selepas pembedahan membuang mata kanan akibat barah - Foto Jaswan Mulop
Mata kiri Adib terpaksa dibuang demi menyelamatkannya dari terus menderita akibat barah selepas mata kanannya dibuang pada 2013.
Adib menjalani pembedahan membuang mata kiri, iaitu mata terakhirnya dalam pembedahan pada Isnin lalu yang bermula pada pukul 2.30 sehingga 6.30 petang.
Kata Jaswan, dalam tempoh masa tiga hari selepas pembedahan, Adib kelihatan banyak mendiamkan diri dan amat sensitif.
"Dia banyak diamkan diri dan amat sensitif bila orang bercakap tentangnya, lebih-lebih lagi bila ada yang datang melawat.
"Doktor juga ada tanya orang yang dia cari selain ibu dan ayah. Adib kata dia cari adiknya, Atif yang beza setahun dengan Adib.
"Sebab itu jugalah doktor benarkan Adib balik, mungkin dia hendak jumpa adik beradik dia terutama Atif dengan harapan semangatnya akan pulih," ujarnya sayu.
Jelas Jaswan lagi, ibu Adib juga masih bersedih dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada anaknya.
"Ibunya selalu beritahu Adib yang matanya rosak. Kerana itu Allah ambil dan nanti akan dipulangkan semula," katanya.
Surat kepada ibu Adib yang memintanya merujuk kepada kaunselor kerana gangguan emosi selepas pembedahan membuang mata anaknya - Foto Jaswan Mulop
Dalam pada itu kata Jaswan, ibu Adib juga perlu dirujuk kepada kaunselor kerana emosi terganggu akibat mengenangkan anaknya.
"Emosinya sangat terganggu. Dia selalu termenung, selalu tengok Adib.
"Ibu Adib pun tidak tahu dia sudah tidur atau belum.
"Saya selalu ingatkan dia yang dia ada anak lain dan memerlukannya. Kasihan anak kami yang berusia dua bulan dan memerlukan perhatian ibunya. Sampaikan susu badannya semakin berkurangan sebab kurang makan," jelasnya.
BACA: Tiada kedua belah mata, Adib tanya bila hari hendak siang - Jaswan
BACA: Menanti sinar baru untuk mata Adib - Jaswan
BACA: Doktor masuk tiub dari paha, ikut jantung dan terus ke mata Adib - Jaswan
Bagaimanapun tambah Jaswan, emosi ibu Adib dilihat semakin baik apabila anaknya mula bermain, bercakap dan tertawa.
Ketika menceritakan situasi semasa Adib, Jaswan berkata, plaster Adib sudah dibuka pada Jumaat lepas selain sudah ke Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk membincangkan sesi sekolah anaknya.
"Agak sukar untuk membincangkan sesi sekolah Adib. Kami tinggal di Putrajaya dan harus ke Brickfields untuk sesi persekolahan tadikanya yang bermula pada pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Sekolah pendidikan khas untuk orang buta juga tidak terdapat di Putrajaya.
"Namun Alhamdulillah, hingga pagi ini Adib sudah mula hendak berbual, cuba bangun dan berjalan sendiri seperti dia nampak semula, syukur, terima kasih Allah," katanya.