Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha menyelamatkan anak beliau dan rakan-rakannya yang terlibat dalam kemalangan pesawat ringan di Selat Melaka semalam.

Ucapan itu beliau tujukan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Idris Haron, pihak polis, bomba, pasukan penyelamat, Hospital Melaka dan pihak-pihak lain yang berkenaan.

Kejadian melibatkan anak Nancy, Faeroz Kamil, 27, bersama juruterbang Kapten Sharron Yee, 27, dan rakan mereka Soh Hsien Shoong, 22, ketika menjalani latihan penerbangan.

Pesawat yang mereka naiki berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam pada 7.30 malam sebelum terhempas pada 8.18 malam.

Dalam kenyataan Rabu, Nancy berkata: "Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Idris Haron yang melawat mangsa di hospital dan memberi peluang kepada saya untuk bercakap dengan anak saya melalui telefon."

Beliau berkata beliau bersyukur kerana ketiga-tiga mereka terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.