KUALA LUMPUR: Jaminan tempoh waranti yang lebih panjang dan meningkatkan perbatuan (mileage) kereta, menjadi antara taktik penjual kereta terpakai untuk menipu para pembeli demi mengaut keuntungan.

Malah, peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab ini semakin berani dan 'terdesak' untuk melariskan jualan mereka memandangkan perlu bersaing dengan penjualan kenderaan baharu di pasaran.

Antara yang hampir menjadi mangsa ialah pelakon, Sofi Jikan yang dipercayai ditipu oleh penjual ketika mahu membeli sebuah kenderaan terpakai.

Pengalaman tersebut dikongsi dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial Scrut memaparkan pelakon filem KL Gangster itu nyaris 'disengat' oleh seorang individu didakwa penjual kereta.

BACA: Pengguna perlu waspada penipuan ketika beli kenderaan terpakai 

Kereta tersebut dikatakan merekodkan jumlah perbatuan 122,000 kilometer (km) dan tanpa terlibat kemalangan.

Namun setelah disemak, jumlah perbatuan sebenar kenderaan tersebut telah mencecah 144,000km sejak 2019, selain terdapat rekod kemalangan.

"Alamak... akhirnya kita 'scrut' (semak kereta) sebab 'brother' tadi minta buat... dia ada berani. Dia cakap tadi tiada kemalangan, tapi (rekod) ada kemalangan pada tahap medium.

"Mileage pun ada tukar juga," katanya dalam rakaman video tersebut.


Nasib sama turut dilalui seorang lagi pelakon, Iman Zulkarnain ketika hendak membeli kereta di salah sebuah syarikat penjualan kenderaan terpakai yang didakwa mempunyai jumlah perbatuan 90,000km dan tanpa rekod kemalangan.

Bagaimanapun setelah melakukan semakan, laporan terakhir perbatuan sebenar kenderaan terbabit ialah 160,000km dengan rekod kemalangan teruk.

Scrut terima aduan kes tipu

.


Mengulas situasi berkenaan, pengasas bersama Scrut, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel memaklumkan pihaknya sering mendapat aduan pengguna yang menjadi mangsa penipuan kereta import terpakai (recond) dan kereta terpakai tempatan sejak aplikasi tersebut dilancarkan pada 2019.

"Apa yang saya boleh nasihatkan adalah masyarakat perlu cakna bagaimana cara untuk mengelakkan daripada ditipu kapitalis jahat yang sudah lama menguasai pasaran dengan menipu masyarakat.

"Antaranya adalah dengan menggunakan aplikasi Scrut untuk menyemak sejarah dan maklumat kereta yang hendak dibeli atau membawa kereta yang hendak dibeli ke bengkel-bengkel kereta yang mereka percayai untuk melakukan pemeriksaan ke atas kereta tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

.

Sementara itu, pengarah bengkel Scrut Auto, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata kerajaan telah melakukan tindakan yang baik apabila menaikkan nilai tuntutan di tribunal pengguna daripada RM20,000 ke RM50,000.

Hal ini, ujarnya menyebabkan lebih ramai mangsa penipuan kereta terpakai bangkit menuntut hak mereka di tribunal kerana kerugian yang ditanggung mereka selama ini melebihi RM20,000 akibat ditipu oleh penjual kereta terpakai.

"Terdapat banyak tuntutan di tribunal pengguna telah dimenangi oleh pihak mangsa sejak pihaknya aktif memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat," tambah  Ahmad Aliff.

Mengikut rekod, jumlah jualan kereta terpakai di negara ini kekal sekitar 400,000 hingga 450,000 unit setahun sejak 30 tahun lalu, berbanding kenderaan baharu merekodkan hampir 800,000 unit tahun lalu.