Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga veteran Umno Tan Sri Aishah Ghani, yang meninggal dunia hari ini.

Perdana Menteri menerusi Twitternya berkata jasa Allahyarham kepada negara akan sentiasa dikenang.

"Takziah kepada keluarga Tan Sri Aishah Ghani yang meninggal dunia sebentar tadi. Jasa Allahyarham kepada negara akan sentiasa dikenang. Al-Fatihah," kata Najib.

Aishah, 90, menghembuskan nafas terakhir pada 12.50 tengah hari di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di sini setelah dimasukkan sejak Jumaat lepas berikutan kesihatannya yang tidak stabil.

Aishah merupakan wanita pertama Malaysia yang dilantik menjadi Senator dan wanita kedua di Malaysia yang menjawat jawatan Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan.