Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan zakat Kumpulan Felda bagi tahun 2015 berjumlah RM16.38 juta kepada 13 Pusat Zakat Negeri.

Najib menyerahkan bayaran itu kepada wakil pusat-pusat tersebut yang antara lain terdiri daripada menteri besar, ketua menteri dan anggota exco kerajaan negeri di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; Presiden dan CEO Felda Global Ventures Holdings Berhad, Datuk Zakaria Arshad; Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada.

Sebelum itu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berbuka puasa bersama 2,000 tetamu termasuk anggota kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri, wakil-wakil Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), duta dan ketua perwakilan asing, pengurusan Kumpulan Felda dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa; Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Pada majlis itu, Najib dan Rosmah juga menyampaikan sumbangan kepada 100 anak-anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi; Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim/Miskin, Klang.

Najib dan Rosmah kemudian bersama tetamu menunaikan solat sunat Tarawih.