UMNO akan terus menjunjung Islam dan berjuang menegakkan syiarnya selagi hayat dikandung badan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata selama puluhan tahun, di bawah pimpinan UMNO, Malaysia telah menjadi 'enabler' atau pemboleh kepada syiar amalannya.

"Kita berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah yang membela dan memelihara lima tunjang utama yakni; agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

"Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian.

"Dengan demikian, penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama'ah adalah dilarang," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-64, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Najib berkata industri kewangan Islam di Malaysia telah mencapai pembangunan yang mantap dan progresif.

Katanya, purata kadar pertumbuhan adalah 17 peratus untuk tempoh 2002 sehingga 2012, dengan pasaran aset perbankan Islam kini mencapai 24 peratus.

"Dari segi aset pula, 24 institusi kewangan Islam berada dalam kelompok 100 yang terbesar di dunia. Sektor ini yang akan menyumbang kepada tambahan pendapatan negara kasar sebanyak RM7.2 bilion dan hampir 12,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia juga menerajui sukuk global dengan jumlah terkumpul mewakili 60 peratus, yakni RM492 bilion.

"Berkaitan itu, sekarang ini kita dapati gelombang di mana orang-orang muda dekat kepada agama. Ia juga berlaku kepada orang yang dah pencen, yang mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid.

"Justeru, ahli-ahli UMNO rajin-rajinlah mendekati golongan ini. Eloklah juga ramai-ramai memakmurkan masjid dan surau.

"Jadi di sini, kita ingin bertanya, selama ini, siapa yang memperjuangkan kemuliaan agama Islam di negara ini? UMNO atau PAS? Pihak mana yang berjasa menubuhkan universiti dan institusi pendidikan Islam? UMNO atau PAS?" jelasnya.