Najib Razak dijangka hadir beri keterangan siasatan kes SRC petang ini

Astro Awani
Ogos 7, 2018 15:57 MYT
Najib dipercayai akan diberikan notis perintah hadir ke mahkamah esok, di bawah pertuduhan yang sama buat kali kedua. - Gambar fail
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka hadir bagi memberi keterangan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, jam 5 petang ini.
Astro AWANI difahamkan, Najib bakal hadir bagi memberi keterangan bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011 (AMLA).


Najib dipercayai akan diberikan notis perintah hadir ke mahkamah esok, di bawah pertuduhan yang sama buat kali kedua.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa buat kali pertama di Mahkamah Kuala Lumpur berhubung pemindahan wang RM42 juta ke dalam akaun peribadi beliau yang dipercayai diseleweng dari bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International.
Beliau mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah melepaskannya dengan bayaran ikat jamin sebanyak RM1 juta.
#1Malaysia Development Berhad #Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia #AMLA #MACA #mahkamah #Najib Razak #Perdana Menteri #Rasuah #SRC International Sdn Bhd
;