Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan penghargaan atas bantuan Perancis berkongsi pengetahuan berhubung misi mencari MH370.

Penghargaan itu disampaikan beliau melalui entri terbaru di laman sosial Facebooknya.

Najib berkata bekas Ketua Jabatan Penerbangan Awam Perancis, Jean Paul Troadec dan duta besar Perancis di Malaysia Martine Dorance mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya di Putrajaya pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Jelas beliau, mereka berbincang beberapa perkara berhubung MH370 dengan Dorance dan bekas Ketua Jabatan Penerbangan Troadec yang terbabit dalam siasatan Air France penerbangan 447.

Perdana Menteri, menghargai tawaran yang dihulurkan dan menyifatkan perjumpaan itu sebagai sesi berkongsi pengetahuan.

Pesawat Air France 447 dalam perjalanan dari Rio De Janeiro ke Paris dengan 228 orang dalam pesawat telah terjunam ke lautan Atlantik berdekatan Brazil pada 1 Jun, 2009.

Serpihan dari pesawat yang hilang dikesan lima hari kemudian dan ia mengambil masa hampir dua tahun bagi pasukan penyiasat mengeluarkan bahagian utama bangkai pesawat dan menemui rangka manusia dari dasar laut.