Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yakin pelabur luar sedang menunggu Barisan Nasional (BN) memperolehi mandat besar untuk melabur di negara ini.

Beliau juga yakin pasaran saham di negara ini akan melonjak jika sekiranya kerajaan BN diberi mandat yang kukuh.

"Saya yakin dan percaya kalau mandat itu menyebabkan kerajaan baharu yang kuat, saya percaya pada pasaran saham negara akan melonjak selepas berita kemenangan besar kepada barisan nasional" katanya ketika berucap dimajlis sambutan Chap Goh Meh anjuran BN Selangor di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Keyakinan itu, kata Najib, berdasarkan pandangan beberapa penganalisis ekonomi bahawa keyakinan pelabur akan melonjak sekiranya BN 'menang besar' pada pilihan raya kali ini.

"Di kalangan para penganalisis, mereka kata kalau BN menang besar, keyakinan pelabur akan melonjak. Ini mereka kata, bukan saya kata. Jika ini benar (analisis) ia akan membawa seribu rahmat," katanya.

Najib berkata pengiktifaran dunia terhadap Malaysia juga semakin meningkat kerana kejayaan ekonomi negara mencatatkan kadar pertumbuhan 6.4 peratus bagi suku terakhir tahun lepas.

Beliau menjelaskan ia juga menunjukkan dasar transformasi nasional yang dibawa kerajaan BN benar-benar berjaya.

Justeru tegas beliau segala masalah dalaman perlu diselesaikan segera untuk memastikan mandat besar dalam PRU-13 diperolehi.

Mandat besar diperlukan oleh BN untuk mempertahankan Putrajaya dan merampas kembali negeri-negeri dikuasai Pakatan Rakyat.