Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini pada pukul 7.37 pagi ini.

Kenderaan Proton Inspira merah yang membawa Najib diiringi enam kenderaan lain termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

Petugas media menunggu sejak pukul 6.30 pagi bagi merakam pergerakan keluar Perdana Menteri keenam itu.

Najib ditahan SPRM pada pukul 2.35 petang semalam di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

Najib ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

-- BERNAMA