Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengeluarkan kenyataan semasa sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini pada Rabu, satu persidangan khas membincangkan kesan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan program kerja yang diterima Bernama, kesemua ketua delegasi akan berpeluang memberikan kenyataan berhubung isu berkaitan Dunia Islam.

Sidang Kemuncak Luar Biasa yang berlangsung di Lutfi Kirdar Congress Centre itu akan dirasmikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku pengerusi Sidang Kemuncak Islam dan Sesi Luar Biasa Persidangan Islam.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Raja Abdullah II, Jordan akan menyampaikan ucapan masing-masing.

Pada akhir mesyuarat kemudiannya, sidang kemuncak itu akan mengeluarkan Deklarasi Istanbul sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi Baitulmaqdis.

OIC, dengan 57 negara anggota, akan mengadakan sidang kemuncak luar biasa bagi membincangkan situasi berikutan tindakan Pentadbiran AS mengiktiraf bandaraya Baitulmaqdis yang diduduki sebagai ibu negara Israel, dan keputusan untuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Majlis Menteri-menteri Luar negara anggota akan mengadakan mesyuarat luar biasa pada pagi yang sama bagi membincangkan langkah secara bersepadu dan berselaras dalam mendepani perkembangan ini yang menjejas bandaraya Baitulmaqdis serta status sejarah, perundangan dan politiknya.

Sabtu lepas, Najib berkata Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan AS berhubung perkara yang melibatkan kesusian Islam, walaupun mempunyai hubungan diplomatik multi-dimensional dengan kuasa besar itu, oleh kerana ini melanggar prinsip kedaulatan sebagaimana termaktub dalam Ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Najib juga berkata beliau sedia membatalkan program rundingan tahunan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong agar beliau dapat menyuarakan bantahan Malaysia di mesyuarat khas itu.

Najib berkata beliau tidak dapat menerima masyarakat Islam ditindas dalam apa jua situasi dan tidak akan membiarkan Baitulmaqdis, tanah ketiga paling suci bagi umat Islam, dicerobohi.

Najib berkata Erdogan telah menghubungi beliau supaya hadir di mesyuarat khas OIC itu bagi menyuarakan bantahan Malaysia.

Presiden AS Donald Trump mengumumkan pengiktirafannya atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan mengarahkan Jabatan Negara memulakan proses memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Walaupun Kongres AS meluluskan akta dipanggil Jerusalem Embassy Act pada 1995, yang menghendaki pemindahan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, presiden-presiden AS yang lalu termasuk George W. Bush, Bill Clinton dan Barack Obama, berterusan membaharui perintah menangguhkan pemindahan itu.

Status Baitulmaqdis kekal merupakan isu teras dalam konflik Israel-Palestin.

Setakat ini masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan tidak ada negara asing menempatkan kedutaannya di bandaraya itu.

- BERNAMA