KUALA LUMPUR: Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital hari ini mencapai 100 hari pertama dalam transformasi Malaysia yang dipacu AI, dan berjaya menggerakkan ia sebagai pemacu pertumbuhan negara.

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini berkata sejak pelancarannya pada 12 Dis tahun lepas, NAIO berperanan sebagai pemangkin dalam membentuk landskap AI negara, mempercepat pembangunan sosioekonomi, serta mengukuh daya saing Malaysia di peringkat global.

"Dalam hanya 100 hari, AI telah mula memberi impak kepada kehidupan harian rakyat Malaysia. Daripada meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan menyokong penyedia penjagaan kesihatan dengan diagnostik berasaskan AI, hinggalah memperkenalkan penyelesaian AI yang memberi nilai tambah kepada para petani," menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital berkata dalam tempoh 100 hari itu juga NAIO telah memulakan langkah strategik antaranya kerjasama bersama pemain industri utama dan pimpinan digital bagi mempercepatkan penerimagunaan AI dalam bidang seperti pertanian, pengangkutan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, pendidikan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Melalui pemacuan AI, penambahbaikan rantaian bekalan dan operasi yang lebih pintar, kerjasama ini meletakkan asas kepada perniagaan Malaysia untuk memanfaatkan AI sebagai kelebihan daya saing di peringkat serantau dan global," menurut kenyataan itu.

Penggunaan AI ini membantu mempercepatkan automasi tugasan, mempertingkatkan penyelidikan, dan menambah baik proses membuat keputusan.

Menurut laporan Jabatan Digital Negara (2024), penjawat awam jimat purata 3.25 jam seminggu, yang diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif dan berkesan kepada rakyat.

"NAIO telah memperluas penggunaan AI dalam perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan yang lebih efisyen dan fokus kepada rakyat melalui kerjasama dengan Google Cloud di bawah platform AI@Work for MyGovUC, lebih 400,000 penjawat awam merangkumi 23 kementerian, 201 agensi, dan tiga kerajaan negeri yang kini mendapat akses kepada AI," menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital memaklumkan NAIO sedang melalui perkembangan progresif dalam pelaksanaan tujuh teras utama, termasuk Rangka Tindakan Teknologi AI (2026-2030), Rangka Kawal Selia Penerimagunaan AI, dan Kod Etika AI selari dengan inisiatif perlindungan data dan keselamatan siber Kementerian itu dalam memperkukuh komitmen Malaysia terhadap ekosistem AI yang selamat, telus dan bertanggungjawab.

Sementara itu Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam kenyataan sama berkata melalui kluster sektoral dan kumpulan kerja NAIO, pihaknya memastikan AI diterapkan di tempat yang paling kritikal dalam industri dan komuniti bagi memastikan AI dapat diakses, inklusif, dan memberi impak positif.

"Hasrat kami adalah untuk Malaysia menjadi bukan sekadar pengguna AI, tetapi pencipta dan inovator AI. AI akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan produktiviti tinggi," katanya.

-- BERNAMA