PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu Tan Sri Annuar Musa melihat penaiktarafan internet sebagai salah satu fokus utamanya, terutamanya menjelang 100 hari pertama Kabinet memulakan tugas.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau berpegang kepada prinsip bahawa internet itu perlu diletakkan sebagai hak asasi rakyat ini, sebaris dengan keperluan asas yang lain, dan ia telah dilihat sebagai keperluan mendesak apabila negara dilanda COVID-19.

Annuar berkata, beliau akan berjumpa dengan penyandang kementerian terdahulu iaitu Datuk Saifuddin Abdullah bagi mendapatkan input yang lebih jelas tentang perancangan kementerian, serta cara untuk menambahbaik perkhidmatan sedia ada.

“Kita kena melihat secara keseluruhan, kalau ingin menjadi rakyat negara maju, aspek kemudahan internet dan berkaitan dengannya mesti bertaraf dunia. Namun kita tahu negara kita sedang pesat membangun, jadi ada kawasan maju, ada kawasan luar bandar.

“Sekali sekala kita lihat (laporan berita) anak memanjat pokok untuk mendapat capaian internet, ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kita akan melihat kepada semua itu. Macam saya katakan tadi kena anggap ini human rights. Akses kepada internet facilities must be considered part of human rights,” katanya lagi.

Terdahulu, Annuar tiba di KKMM kira-kira pukul 5.42 petang, dan disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) KKMM Datuk Mohammad Mentek, Timbalan KSU (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Mastura Ahmad Mustafa, dan Timbalan KSU (MA Sivanesan Marimuthu).

Annuar sebelum ini menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, yang kini dijawat Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

BACA: Jemaah Kabinet Ismail Sabri selesai angkat sumpah

Beliau menggantikan Saifuddin, yang telah bertukar kepada portfolio Kementerian Luar Negeri.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau sedar beban tanggungjawab yang digalasnya, apatah lagi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri telah memberikan masa 100 hari untuk semua kementerian menunjukkan hasil pencapaian mereka.

Beliau berkata, KKMM merupakan nadi utama dalam pembentukan sesebuah kerajaan, lebih-lebih lagi dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat.

“Kita tahu kita ada banyak cabaran yang perlu diuruskan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 belum selesai. Kementerian kita ini adalah nadi utama kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

“Ia adalah saluran maklumat untuk hubungkan rakyat dengan rakyat, tetapi juga kerajaan dengan rakyat, dan kita berada pada zaman Internet yang kini boleh dianggap sebagai hak asasi manusia,” katanya lagi.

Selain itu, Annuar berkata, beliau juga akan berjumpa dengan penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk melihat bagaimana mereka boleh membantu masyarakat menempuhi zaman serba mencabar ini.

Annuar berkata, beliau akan berjumpa dengan Saifuddin bagi mendapatkan input yang lebih jelas tentang perancangan kementerian, serta cara untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada.