PEKAN: Prihatin dengan nasib mangsa yang rumahnya musnah akibat dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir pada Sabtu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengurniakan sebuah rumah baharu kepada keluarga mangsa.

Mohd Fakhrul Hafiz Nasruddin, 35, berkata perkara itu dititahkan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah ketika baginda berkenan berangkat menziarahi keluarga mangsa di rumahnya kira-kira 1.30 tengah hari dan meluangkan masa hampir setengah jam bertanya khabar dan menzahirkan simpati atas kejadian tersebut.

Beliau berkata Sultan Pahang juga menzahirkan ucapan takziah dan menyifatkan kemalangan yang berlaku kira-kira 4.15 pagi itu sesuatu sangat dahsyat, sehingga mengakibatkan dua adiknya meninggal dunia.

"Ketika Tuanku melawat tapak rumah kami yang roboh dirempuh lori itu, Tuanku titah kepada saya, insya-Allah, akan ganti rumah itu dan buat rumah baharu, di kawasan sama, tanah pusaka. Tuanku tidak beritahu bila, kemungkinan akan ada orang Istana akan datang nanti.

"Tuanku juga menyarankan kami supaya mengambil tindakan undang-undang menyaman syarikat lori terbabit bagi menuntut keadilan buat keluarga kami," katanya kepada media selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menziarahi keluarga berkenaan yang turut diiringi Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar Pahang Datuk Mohd Nizar Najib.

Dalam kejadian itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan.

Mohd Fakhrul Hafiz yang merupakan abang sulung kepada mangsa, mengharapkan pihak berkuasa dapat memasang pembahagi jalan yang lebih tinggi di kawasan itu bagi mengelakkan insiden sama berlaku lagi.

"Tidak pernah lagi berlaku dan ini merupakan pertama kali kerana lori terbabit terbabas daripada laluan bertentangan. Langkah segera perlu dilakukan," katanya.

Ibu mangsa Norrulaini yang masih trauma dengan insiden itu pula berkata suaminya Nasruddin, patah tulang rusuk dan sehingga kini masih belum menerima hakikat dua anaknya terkorban dalam kejadian tersebut.

"Tuhan sahaja yang tahu, rasa kehilangan dua orang anak, tak boleh nak bayangkan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan tidak cedera," katanya.

-- BERNAMA