Ringkasan AI
- Dua kanak-kanak yang terlibat dalam nahas di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara masih belum diberitahu bahawa lima ahli keluarga mereka telah terkorban. Langkah ini diambil untuk menjaga emosi mereka.
- Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, mengalami kecederaan parah di paha kanan dan akan menjalani pembedahan, manakala adiknya Nur Sofea Humaira, 4, telah selesai menjalani pembedahan.
- Nahas tersebut melibatkan lima kenderaan dan mengorbankan tujuh nyawa, termasuk lima sekeluarga dan dua individu lain.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata meskipun keadaan mereka dilaporkan stabil, namun tindakan itu diambil bagi memastikan emosi dua beradik itu tidak terganggu.
“Apa yang saya dimaklumkan, kedua-dua kanak-kanak itu, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, Nur Sofea Humaira, 4, belum tahu ibu dan bapanya telah tiada.
"Kita tidak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah dan adiknya juga baru sahaja selesai pembedahan dan pastinya masih dalam kesakitan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menziarahi dua beradik berkenaan serta empat penumpang bas persiaran yang cedera sebelum mereka dibenarkan keluar dari hospital, hari ini.
“Saya nak sampaikan juga ucapan terima kasih daripada mangsa terlibat, terutamanya warga Singapura, yang berpuas hati dengan bantuan yang diberikan sepanjang insiden itu,” tambahnya.
Nahas melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori treler Nissan, dan MPV Toyota Estima itu telah meragut tujuh nyawa.
Mereka yang maut termasuk lima sekeluarga, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2, dan ibu serta ayah Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Turut terkorban dalam nahas itu pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang bas persiaran yang juga pemandu pelancong warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.