“Saya maafkan pemandu lori itu.”

Itu kata-kata Mohd Hasnun Ramli, suami kepada Allahyarham Nurul Syaziela Iryani yang maut bersama anak tunggal mereka, Hanna Humaira selepas kenderaan dirempuh sebuah lori treler dalam kemalangan di Lebuh Raya Plus dekat Tanjung Malim.

Mohd Hasnun berkata, biarpun masih terkesan dan sedih dengan pemergian insan kesayangan, namun tidak menyalahkan pemandu lori berkenaan.

“Apa-apa pun memang bukan salah lori dan bukan salah pemandu serta siapa-siapa pun.

“Ini adalah qadak dan qadar. Perkara ini sudah pun terjadi dan tidak boleh salahkan siapa-siapa pun. Lagipun, saya sudah maafkan pemandu itu,” tambahnya.

Nurul Syazeila Iryani Suhaimi dan Hanna Humaira Mohd Nasrun, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Darat pada 24 Jun lalu.
Mohd Hasnun yang tinggal bersama keluarga mentuanya, Suhaimi Salleh dan Haridan Awang buat sementara waktu berterima kasih kepada orang ramai dan juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahya yang mengambil berat mengenai keadaannya dan keluarganya.

Sementara Itu, Shahbudin yang sempat berkunjung ke kediaman Suhaimi Salleh, bapa Nurul Syazeila Iryani berkata, pihaknya prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan.

Dalam tragedi 23 Jun lepas, dua beranak, Nurul Syaziela dan anaknya, Hanna Humaira , meninggal dunia apabila kenderaan dipandu suaminya dirempuh treler yang terbabas di kilometer 405.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Tanjung Malim.

Kemalangan turut mengakibatkan 16 kenderaan lain terbabas.