KUALA LUMPUR: Lembaga Siasatan insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 23 April lalu, mendapati kedua-dua helikopter tiada masalah teknikal.


Ringkasan AI
  • Lembaga Siasatan insiden helikopter TLDM di Pangkalan TLDM Lumut pada 23 April mengesahkan bahawa kedua-dua helikopter, HOM-AW139 dan Fennec, tidak mengalami masalah teknikal.
  • Kejadian tersebut mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM yang terlibat dalam raptai Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dan siasatan mendapati semua kru udara adalah "fit to fly" tanpa sebarang isu kesihatan mental atau penggunaan bahan terlarang.
  • Siasatan dibantu oleh laporan analisis kotak hitam pesawat AW139, simulasi penerbangan Fennec, dan kepakaran dari pihak OEM, serta mengesahkan penyelenggaraan pesawat dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.


Kejadian itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM yang berada dalam Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec, semasa raptai Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, pesawat AW139 disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan laporan analisis kotak hitam.

"Pesawat Fennec pula ditentukan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi," katanya dalam sidang akhbar, di sini, pada Khamis.

Abdul Rahman berkata, kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak kilang pengeluar asal (OEM).

"Sampel minyak, pelincir dan bahan api telah diperiksa dan disahkan normal oleh pihak Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE)," katanya.

Beliau berkata, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.

"Laporan Analisis Kotak Hitam pesawat AW139 digunakan untuk membantu siasatan. Manakala bagi pesawat Fennec, pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar," ujarnya.

Menurutnya, kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter telah dirujuk bagi membantu siasatan.

"Airbus Helicopter mengesahkan bahawa tiada peralatan yang mempunyai Non Volatile Memory (NVM) di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, setelah siasatan dilaksanakan secara komprehensif, Lembaga Siasatan mendapati laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau unsur-unsur keletihan terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.

"Tiada unsur 'mental illness' direkodkan atau dikenal pasti. Kesemua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai 'fit to fly'.

"Kematian kesemua 10 mangsa adalah berpunca daripada pelbagai kecederaan akibat nahas penerbangan," katanya.

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi, 23 April lalu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

TLDM memaklumkan mangsa yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi, dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat), dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat). - Sinar Harian