YA. Masih ada rakyat Malaysia yang tidak pernah atau gagal belajar walaupun ada yang menghabiskan masa berbelas tahun di sekolah dan pusat pengajian.

Ini sikap segelintir masyarakat negara ini apabila mendapat berita atau laporan mengenai sesuatu kemalangan.

Paling terkini pada malam Khamis 5 Mei 2016 apabila mula tersebar laporan mengenai sebuah helikopter yang membawa orang kenamaan di Sarawak terputus hubungan ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching.

Belum pun sempat media arus perdana mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa, sudah ada yang menyebarkan maklumat terutama di media sosial bahawa pesawat berkenaan telah mendarat cemas di Sri Aman.


Laporan 6 Mei: Elak sebar berita palsu

Mereka pantas membuat kesimpulan dan tanpa segan silu menyebarkan maklumat yang diperoleh tanpa usul periksa. Antaranya gambar sebelum mereka menaiki pesawat yang diserta bersama kapsyen seperti

"Allhamdulilllah, telah selamat mendarat cemas malam tadi,"

Saya tidak pasti apa yang berada di kotak fikiran mereka.

NAHAS SARAWAK: LAPOR LANGSUNG AWANI ADA DI SINI


Tidakkah mereka boleh berfikir bahawa gambar itu dirakam sebelum pesawat berlepas?

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/helikopter-dipercayai-bawa-orang-kenamaan-hilang-di-sarawak-104607
Individu seperti ini mempunyai kecenderungan untuk mendapatkan perhatian, tidak kisah sama ada maklumat itu sahih atau tidak asalkan mereka dapat jadi yang pertama menyampaikan sesuatu maklumat itu dan mendapat perhatian.

"Dalam psikologi ia dipanggil teori "five minute of fame" dimana seseorang individu menyebarkan maklumat dengan pantas tanpa memeriksa kesahihan maklumat atau mereka cerita untuk jadi terkenal dan berstatus seperti seorang selebriti buat seketika,

"Asalkan mereka dikenali, itu sudah cukup buat mereka," kata pakar psikologi dan kriminologi USM, Dr Geshina Ayu Mat Saat.

Tindakan ini jelas mengelirukan orang ramai. Apabila ditanya sumber maklumat diperoleh, golongan ini mula mereka cerita.

Itu belum lagi segelintir yang kurang ajar dengan mendoakan individu tertentu yang mereka harapkan berada dalam pesawat berkenaan.

“Ini bukan kali pertama. Ketika kejadian MH370 dan MH17 perbuatan yang sama dilakukan oleh golongan ini," kata Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Hanif bekas ketua penyiasat TUDM.

"Mereka tidak memikirkan langsung tragedi yang berlaku melibatkan manusia dan mereka mempunyai ahli keluarga," katanya kepada Astro AWANI.

Tambah Kapten Rahmat, kebiasaannya pihak berkuasa akan menyalurkan maklumat terkini berhubung sesuatu tragedi kepada pihak media untuk disebarkan kepada umum.

Tidak dinafikan tindakan mereka mengharapkan serta mendoakan perkara baik berlaku sesuatu yang mulia tetapi menyebarkan maklumat tanpa usul periksa juga sama seperti memberikan harapan palsu.

Bayangkan bagaimana rasanya jika terkena batang hidung sendiri.


*Abdul Hakim Rahman adalah wartawan dan penyampai berita di Astro AWANI yang amat prihatin terhadap hal ehwal semasa dan perkara yang membabitkan keselamatan masyarakat.

*Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.