KOTA BHARU: Sebanyak 186 kawasan berisiko kepala air di seluruh negara akan ditutup bermula November hingga Januari tahun depan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains juga telah memberi amaran kepada penduduk setempat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pada musim tengkujuh di kawasan rekreasi yang berisiko berlakunya kepala air.

"Saya dimaklumkan ... peristiwa kepala air akan berlaku dalam tempoh 30 tahun sekali seperti kejadian di Baling, Kedah.

"Lokasi yang berisiko itu akan ditutup termasuk Gunung Stong di Kuala Krai dan Jeram Linang di Pasir Puteh," katanya.

Takiyuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli di Pantai Cahaya Bulan di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Abdul Wahid Abu Salim.

Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi 'hotspot' banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air.

-- BERNAMA