Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dijangka menyampaikan ceramah di acara kemuncak program 'Himpunan Keadilan Untuk Mu Memali' yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini.

Musa, Timbalan Perdana Menteri ketika peristiwa berdarah Memali berlaku 29 tahun lepas, dijadualkan sepentas bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan beberapa pemimpin lain.

Musa sebelum ini pernah mengejutkan negara dengan pendedahan bahawa Perdana Menteri ketika peristiwa berdarah itu berlaku, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada di Kuala Lumpur pada hari kejadian, bukan di China seperti dakwaan sebelum ini.

Dalam satu forum 'Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang' yang berlangsung di Kota Bharu, Musa yang juga ahli panel, peristiwa Memali merupakan titik hitam dalam kerjaya politiknya.

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.

Peristiwa Memali berlaku apabila polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Program 'Himpunan Keadilan Untuk Mu Memali' juga dijadualkan akan menampilkan beberapa tokoh yang akan menyampaikan fakta yang didakwa 'fakta sebenar' mengenai Memali.