PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di bangunan Perdana Putra, di sini, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pada pukul 8.06 pagi.

Beliau dijangka mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet sekitar pukul 9 atau 10 pagi.

Turut kelihatan tiba di bangunan itu, kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun. 

Petugas media yang menanti di hadapan Perdana Putra ketika ini masih menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri-Menteri Kabinet dijangka tiba pada pukul 9 pagi melalui Pintu 2 Perdana Putra.


Mesyuarat Kabinet dijangka berlangsung selama kira-kira satu jam sebelum Muhyiddin dijangka bergerak ke Istana Negara pada pukul 11 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Muhyiddin kemudian dijangka mengumumkan satu perutusan selepas sesi menghadap.