Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid enggan mengadakan pertemuan dengan Sisters in Islam (SIS) dalam jangkamasa terdekat, lapor The Malaysian Insider.

Tamyes dilaporkan berkata, buat sementara lebih baik tidak diadakan pertemuan untuk mengelakkan prejudis memandangkan SIS sudah mengemukakan semakan kehakiman kepada mahkamah berhubung status mereka.

"Tunggulah nanti kalau dia nak lawan di mahkamah, jika kita bertemu akan jadi prejudis," Tamyes dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Tamyes berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Seminar Kanun Jenayah Syariah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Pada Julai 2014, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengisytiharkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

SIS kemudiannya membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara berkenaan.

Dalam semakan kehakiman tersebut, SIS menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais dan kerajaan Selangor sebagai responden, mahu membatalkan pengisytiharan fatwa itu dan mahu diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa itu.

Semalam dalam satu kenyataan, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mencadangkan agar diadakan dialog antara Mais, Mufti Selangor dan SIS bagi mengelakkan sebarang salah faham berhubung fatwa tersebut.