SEREMBAN: Seorang mudir dan timbalan mudir sebuah madrasah di Rembau dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (JHEAINS) pada Rabu.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 46 dan 54 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut selepas didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah berkata, kedua-dua mereka ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Rembau pada jam 3 petang.

"Mereka kali pertama ditahan pada 21 September lalu oleh pihak polis dalam Ops Global yang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS.

"Namun pada 25 September (Rabu), mereka telah ditahan semula oleh JHEAINS untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran di Kampung Senama Hilir di Rembau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, ketika soal siasat dijalankan terhadap kedua-dua suspek, mereka didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah.

Sehubungan itu katanya, JHEAINS telah membuat permohonan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Sendayan bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan sekali gus memastikan mereka hadir pada tarikh sebutan, 12 November ini.

"Mahkamah memutuskan mudir madrasah yang disiasat di bawah Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996 dilepaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 serta seorang penjamin warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sembilan.

"Timbalan mudir yang turut disiasat di bawah Seksyen 52 dan Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992(pindaan 2019) dilepaskan dengan jaminan mahkamah keseluruhan RM3,500," katanya.



 Kedua-dua suspek hadir ke mahkamah dengan diiring penguat kuasa JHEAINS. - Sinar Harian

Jelasnya, mereka juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada Ketua Penguatkuasa Agama Rembau setiap 1 hari bulan setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi kes.

Terdahulu, permohonan jaminan dikemukakan oleh Penolong Pengarah (Kanan) Operasi JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah di hadapan Hakim, Yuhanis Yusop.

Sinar Harian pada 22 September lalu melaporkan pengerusi dan seorang mudir sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISB telah ditahan.

Lelaki berusia 58 dan 51 tahun itu ditahan pada 21 September lalu kerana disyaki cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiah.

Madrasah mereka diperiksa JHEAINS selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan laporan perbuatan liwat membabitkan penghuni di situ.

Hasil semakan mendapati, madrasah berkenaan tidak didaftarkan dengan JHEAINS bagi menjalankan aktiviti pembelajaran agama Islam.

Pada minggu lalu juga, empat pembantu pengajar di madrasah berkenaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan amang seksual. -- Sinar Harian