Presidennya, Datuk Liaw Choon Liang berkata, selepas menaja sepasukan doktor Misi Bantuan Perubatan Global Expedition Club (GEC) di Nepal pada awal Mei lalu, pihak mereka sedia membantu mangsa gempa ini sekali lagi dengan menyumbang bantuan tempat tinggal sementara.
"Pada misi pertama kami sebelum ini, kami telah menyalurkan bantuan perubatan kepada mangsa di beberapa tempat yang terjejas akibat gempa.
"Selain itu, seperti yang kita tahu, gempa bumi di Nepal ini juga telah mengakibatkan ramai mangsa kehilangan rumah mereka. Jadi kami membeli khemah sebanyak satu tan untuk membantu sekurang-kurangnya 1,500 mangsa di sana.
"Dalam pada itu, saya juga mahu berterima kasih kepada ahli MRCA kerana dana terkumpul ketika ini hampir kepada RM200,000 walaupun pada mulanya kami hanya sasarkan sebanyak RM150,000," jelas beliau kepada Astro AWANI ketika ditemui semasa Mesyuarat Bulanan MRCA di Bangunan Icon Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Rabu.
Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malayia (MRCA) Datuk Liaw Choon Liang (empat dari kanan) menyampaikan sebuah bungkusan khemas kanvas kepada Datuk Loh Yuen Tuck yang akan ke Nepal untuk menghantar bantuan penempatan sementara kepada mangsa di Nepal. - Foto Astro AWANI/ MARIAH AHMAD
Ivan Teh (dua dari kanan), pengasas Fusionex International menyampaikan cek replika bernilai RM50,000 kepada Dana Tabung Kebajikan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) untuk membantu mangsa gempa bumi di Nepal. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Dalam pada itu, Liaw Choon juga berkata selain menghulurkan bantuan khemah, pihak mereka juga akan meneruskan misi bantuan mereka sebelum ini dengan menghantar bantuan ubat-ubatan di kawasan-kawasan terpencil di Nepal.
Antaranya di Kavrepalanchowlk dan di Gorkha , kawasan perkampungan yang paling teruk terjejas akibat gempa.
BACA: Gempa Nepal: Warga emas panjat gunung untuk ucap terima kasih kepada doktor Malaysia
BACA : Warga Nepal lebih memerlukan ubat-ubatan berbanding makanan
"Sudah tentu dengan dana yang diterima ini akan dihulurkan sepenuhnya kepada mangsa. Kami juga akan meneruskan misi sebelum ini di mana kami akan terus membeli ubat-ubatan memandangkan ketika ini mangsa gempa bumi ini sangat-sangat memerlukannya," tambah beliau.
Nepal dilanda gempa bumi besar berukuran 7.9 pada skala Richter pada 25 April dan gegaran susulan yang kuat pada 12 Mei lepas.
Lebih 8,500 orang terbunuh, lebih 15,000 orang cedera dan harta bernilai berbilion-bilion dolar telah musnah akibat gempa bumi berkenaan.