KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad memohon maaf secara terbuka di akaun Facebooknya berikutan kenyataannya sebelum ini yang seolah-olah mempersendakan kematian mendiang Karpal Singh.
Nawawi meluahkan rasa kesal di atas keterlanjurannya dan turut memohon maaf kepada ahli keluarga mendiang.
“Saya ingin merakamkan rasa kesal yang teramat sangat ke atas apa yang berlaku dua hari lepas iaitu berkenaan status di Facebook peribadi saya mengenai mendiang YB Karpal Singh.
“Sesungguhnya kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa saya menyesal dan memohon maaf kepada keluarga mendiang YB Karpal Singh serta orang ramai yang telah tersinggung dengan status tersebut” katanya di dalam kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Nawawi telah menyebabkan kemarahan orang ramai dengan status yang tidak sesuai mengenai kemalangan yang melibatkan pemimpin pembangkang veteran DAP itu dan pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, maut.
Dalam status itu, Nawawi telah memuatnaik beberapa gambar dari kemalangan tersebut bersama kata-kata yang pernah diucapkan mendiang iaitu "langkah mayatku dulu".
Status tersebut telah mencetuskan kontroversi dan ada yang mendesak agar Nawawi segera memohon maaf.
Pada Khamis, Karpal Singh maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira pukul 1.10 pagi.
Perarakan mengusung mayat mendiang Karpal Singh akan diadakan pada Ahad ini.