Penulis Kamaruddin Abdullah meneruskan perkongsian kisah kehidupan membesar pada era 50an dan 60an di sekitar bandar Muar melalui pelancaran buku keduanya 'More Pages from My Past'.

Buku yang merupakan kesinambungan daripada 'Pages From My Past' (2013) menyentuh pelbagai perkara dan tradisi yang diamalkan pada zaman itu seperti masakan, persembahan muzik, permainan termasuk cara pergaulan antara kaum yang sangat rapat.

"Buku ini mengimbas kembali kehidupan sebagai seorang kanak-kanak pada masa dahulu. Pada ketika itu, kita tidak ada telefon bimbit. Kita perlu ke pejabat pos, atau pergi Telekom untuk hantar telegram.

"Semua cerita dalam buku ini adalah sebagai perkongsian dengan generasi sekarang tentang keadaan pada zaman 50an dan 60an, supaya generasi ini dapat menghargai apa yang mereka dapat nikmati sekarang," kata Kamaruddin ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku 'More Pages From My Past' di Plaza Damas pada Ahad.


Kamaruddin juga berkata terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil dan beliau mahu generasi muda untuk lebih mesra dengan kaum lain dan mengenal jiran masing-masing.

"Saya membesar di suasana ada pelbagai bangsa termasuk bangsa Cina, India dan Sikh. Pada zaman itu, persahabatan kita sangat baik, kita boleh pergi ke rumah mereka yang berlainan bangsa tanpa dijemput.

"Sekarang cukup berbeza, jiran sebelah pun tidak kenal, sedangkan dahulu kita cukup rapat," kata Kamaruddin.

Buku ini merupakan kesinambungan daripada 'Pages From My Past' (2013) menyentuh pelbagai perkara dan tradisi yang diamalkan pada zaman itu.
Walaupun membesar di Muar, Kamaruddin percaya kisah yang dilalui adalah sama dengan kanak-kanak yang membesar di bandar lain.

"Kalau dulu kita bermain galah, di Melaka dan Pahang juga sama, perbezaannya mungkin sedikit tetapi bentuk permainan itu sama. Tetapi permainan itu sudah tiada lagi dan ditelan zaman.

"Di Muar, ada sejenis mi yang popular, iaitu Mi Bandung. Tetapi di Bandung sendiri tidak wujud mi ini, jadi saya ceritakan bagaimana makanan Mi Bandung dicipta. Selain itu, saya juga ada kongsikan bagaimana bermulanya muzik Ghazal.

"Begitu juga dengan perjalanan, dulu jika dari Muar ke Kuala Terengganu memakan dua hari dan dua malam, sekarang semua dah berubah," kata Kamaruddin.

Jelasnya, buku yang diambil masa lebih kurang setahun untuk disiapkan ini boleh dibeli pada harga RM40.

Ketika ini, kedua-dua buku berkenaan sedang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh enam bulan.

Kamaruddin juga berharap untuk menghasilkan volum ketiga buku ini dalam masa dua tahun lagi.