TAWAU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tawau siap siaga dari segi logistik dan anggota sekiranya berlaku banjir luar jangka berikutan luruan monsun dan cuaca tidak menentu.

Pegawai APM Tawau Kapten Hussain Mohd Nor berkata, sebanyak 33 anggota serta beberapa logistik menyelamat termasuk tujuh bot, dua ambulans serta dua lori lima tan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

"Kita juga mengenal pasti empat kawasan tumpuan berlaku banjir iaitu Merotai, Kampung Saddani, Kampung Rawa Rawa serta sepanjang pantai Batu 4 sehingga Batu Payung," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri Sabah Datuk Safar Untong mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Sabah diaktifkan sejak dua minggu lepas bagi berdepan sebarang bencana.

Pada Khamis lepas (23 Disember) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Disember, antara lain menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan, selain hujan berterusan antaranya di kawasan utara dan pantai timur Sabah.

Dalam pada itu, Pengerusi PKOB Tawau Joseph Pang menasihatkan penduduk Tawau yang tinggal di kawasan tanah rendah serta sering dilanda banjir kilat agar berwaspada.

"Simpan dokumen penting di satu tempat (supaya) senang dibawa keluar apabila berlaku banjir, juga segera keluar rumah dan pergi ke tempat tinggi dan selamat apabila air naik," katanya.

Selain itu, penduduk Kampung Saddani Salleh Sallabi, 83, berasa bimbang dengan luruan monsun kerana pada kebiasaannya, setiap kali berlaku hujan lebat berterusan, kawasan rumah akan banjir.

"Tepi rumah saya ini ada sungai dan jika bertembung lagi hujan lebat yang berterusan boleh menyebabkan banjir, khuatir juga dengan cuaca tidak menentu sekarang ini.

"Air tidak pernah masuk ke rumah kerana tiang rumah tinggi, namun pernah sekali banjir dan kereta tenggelam kerana lupa pindah kereta ke kawasan tinggi," katanya turut menambah bersedia untuk mengosongkan rumah jika banjir besar berlaku.

Senada perkara itu, Rusydy Ridha Marzuki, 56, yang tinggal di kampung sama berkata penduduk kampung saling mengingatkan agar berwaspada setiap kali musim hujan.

"Setakat ini, di kawasan rumah saya kalau banjir hanya hingga paras lutut dan kereta saya akan letak di kawasan tinggi," katanya.

Sementara itu di Lahad Datu, Pegawai APM Asby Mohd Anwar berkata pihaknya giat mengadakan pemantauan kawasan berisiko dan berkongsi maklumat dengan ketua-ketua komuniti terlibat dari semasa ke semasa.

Katanya, kawasan dikenal pasti berisiko dilanda banjir adalah Kampung Sapagaya, Segama, Jalan Pancuran, Taman Khazanah Indah serta Kampung Teburi dan susulan itu, 90 anggota dengan lapan bot sedia diaturgerak.

-- BERNAMA