KUALA TERENGGANU: Walaupun hilang keupayaan melihat, namun 'mata hati' seorang ibu tunggal, Gayah Awang cukup terang sehingga mampu menenun songket dengan hanya berdasarkan deria sentuhan dan mengingati kaedah tenunan dipelajarinya sejak zaman kanak-kanak.
Bukan senang hendak menghafal susun atur benang dan 'rentak' menenun tanpa deria penglihatan, namun Gayah, 54, tetap bertekad untuk meneruskan kemahiran unik yang diwarisi daripada nenek moyangnya itu, sementelah ia juga merupakan punca utama pendapatan keluarga.
Mesra disapa Mok Su, ibu tunggal empat anak kematian suami kira-kira 20 tahun lepas itu memberitahu, nikmat melihat dengan jelas dan terang hilang sedikit demi sedikit ketika usianya menginjak remaja akibat penyakit saraf yang merupakan penyakit genetik dalam keluarganya.
"Lima daripada tujuh adik beradik Mok Su ada masalah penglihatan dan Mok Su boleh dikatakan butalah sekarang ni... kalau duduk tempat cerah, nampaklah bayang-bayang depan Mok Su tapi tak tahu apa.
"Masa menenun ni memang tak nampak, meraba-raba sajalah, tapi anak (perempuan) tolong susunkan benang dan siapkan peralatan menenun. Kemudian Mok Su mula menenun dengan cara kiraan jalur benang dan sentuhan untuk memastikan kain yang ditenun kemas dan cantik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Panjang, di sini.
Menurut Mok Su, setiap gulungan benang ditandakan dengan ikatan getah bagi membolehkannya membezakan setiap warna benang yang akan digunakan untuk setiap helai kain tenunan.
Kebiasaannya Mok Su menenun 'songket bunga dalam' yang menurutnya lebih senang dihasilkan bagi dirinya yang kurang upaya kerana tidak menggunakan banyak warna, corak dan bunga.
"Biasanya, Mok Su tak ambil tempahan terus dari pelanggan sebab dengan keadaan diri ini, cuma boleh siapkan sehelai songket dalam masa seminggu, orang biasa dalam dua hari dah siap. Mok Su pun tak mampu buat banyak, hasil jualan lepaslah untuk belanja dapur.
"Jadi Mok Su buat sikit-sikit, bila dah siap ada barang (stok) barulah panggil orang (pemilik kedai) datang ambil di rumah," katanya yang mula menenun sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Katanya, tenunan lebih sukar kaedahnya seperti sampin 'songket bunga penuh' akan dihasilkan oleh anaknya Nurul Hajar Ismail, 26, dan mereka masih menggunakan mesin tenunan tradisional warisan keluarga diperbuat daripada kayu dan dipanggil 'kei'.
"Mok Su buat kerja ini (tenunan) kerana hanya ini yang Mok Su pandai buat untuk cari duit dan sara anak-anak kecil selepas kematian suami akibat penyakit lelah," katanya yang sempat menamatkan pengajian peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diterima masuk ke Maktab Perguruan, namun terpaksa ditolak setelah penglihatannya hilang pada usia 19 tahun.
Menurut wanita kental itu, kerjaya sebagai penenun songket tradisional bukanlah mudah, namun semangat cintakan tradisi dan warisan nenek moyang, mendorongnya untuk meneruskan karier itu walaupun pendapatannya tidak seberapa kerana produk dihasilkan tidak banyak.
"Kita dah belajar menenun dari kecil (sekolah rendah), jadi dah pandai sangat menenun, baiki 'kei' ni pun dah boleh buat sendiri, jadi rasa sayang nak tinggalkan ilmu yang kita belajar daripada emak dan nenek kita dulu ni.
"Sebab tu saya turunkan pula kemahiran menenun ini kepada dua anak perempuan saya dan Hajar (anak) pun dah pandai dan dialah yang membantu saya secara sepenuh masa, kakaknya pula walaupun dah ada kerja lain, tahu juga menenun," katanya yang memberitahu kemahiran itu biasanya dikuasai oleh kaum wanita.
Menurutnya, kerja-kerja tenunannya mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dan pernah menerima bantuan seperti bekalan benang daripada badan tersebut.
Selain itu katanya dia juga ada menerima elaun orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarat dan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). - BERNAMA
Bernama
Wed Feb 15 2023
Walaupun hilang keupayaan melihat, namun 'mata hati' seorang ibu tunggal, Gayah Awang cukup terang sehingga mampu menenun songket dengan hanya berdasarkan deria sentuhan. - Gambar BERNAMA
Solusi lebih holistik perlu dirancang elak banjir berulang
Tumpuan perlu diberikan bukan hanya kepada kerja-kerja mitigasi jangka pendek tetapi perlu menerapkan perubahan iklim.
Dua beradik jual ikan 'sekoq dua kupang', bantu golongan memerlukan
Dua beradik, Mohamad Syamil Zulkifli dan Mohamad Shauki Zulkifli mengambil inisiatif menjual ikan seekor 20 sen bagi membantu golongan memerlukan.
Jeneral Joseph Aoun dipilih sebagai Presiden Lubnan yang baharu
Pelantikan Jeneral Joseph Aoun bagi mengisi kekosongan jawatan presiden, dengan seorang jeneral yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.
Donald Trump beri penghormatan terakhir untuk Jimmy Carter
Lawatan ini menandakan kali pertama beliau kembali ke Capitol sejak rusuhan ganas yang berlaku pada 6 Januari 2021.
74 kanak-kanak di Gaza terbunuh minggu pertama 2025 - UNICEF
Serangan "waktu malam" oleh Israel di kawasan seperti Bandaraya Gaza, yang dianggap sebagai “zon selamat telah meragut nyawa kanak-kanak.
Kerajaan MADANI sentiasa mudah cara selesai masalah pelabur - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memudah cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah yang dihadapi pelabur.
Lelaki warga Amerika Syarikat yang dikehendaki ditahan di Indonesia
lelaki berkenaan yang dikenali sebagai "TJC" dan berusia 43 tahun dilapor tiba di Jakarta dari Malaysia pada 4 Disember tahun lalu.
Kiosk Sentuhan MADANI permudah akses orang ramai kepada perkhidmatan kerajaan
Inisiatif itu menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di kawasan tumpuan ramai dengan jangka masa operasi yang lebih panjang, sekaligus memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan awam.
Malaysia anjur dialog hak asasi manusia, alam sekitar
Malaysia menganjurkan Dialog Hak Asasi Manusia dan Hak Alam Sekitar yang julung kali diadakan di Putrajaya pada Khamis.
90 plot kubur di Selat Klang selesai dialihkan - Jais
Pemakluman awam kepada waris untuk membuat pengecaman plot kubur ahli keluarga sebelum 5 Januari dan pemakluman kerja-kerja pengalihan kubur pada 6 Januari hingga 9 Januari telah dibuat oleh JAIS.
Mok Su Gayah tenun songket dengan 'mata hati'
Menenun tanpa deria penglihatan bukan mudah, namun Gayah tekad meneruskan kemahiran unik yang diwarisi daripada nenek moyangnya.