KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Kuwait semalam untuk mengadakan lawatan kerja rasmi bertujuan memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Kuwait Alauddin Mohd Nor bersama Ketua Staf Angkatan Tentera Kuwait Leftenan Jeneral Bandar Salem Abdullah Al-Muzayan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Mohamed Khaled memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kuwait Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah serta rakan sejawatan Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Kuwait.

"Lawatan ini peluang penting untuk mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kuwait termasuk membincangkan beberapa inisiatif baharu yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara," katanya.

Delegasi Malaysia turut disertai Panglima Tentera Udara Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Markas Tentera Udara Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled sebelum ini mendedahkan Malaysia sedang dalam perbincangan dengan Kuwait untuk memperoleh pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perbincangan mengenai perolehan pesawat berkenaan susulan lawatan Duta Kuwait ke Malaysia Rashed Mohammed Rashed Al-Saleh dan isu itu dibangkitkan sebagai satu langkah untuk memperkukuh hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.

Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik yang bukan sahaja memperkasakan pertahanan negara tetapi juga membuka peluang kepada kerjasama lebih erat dalam bidang teknologi pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.

-- BERNAMA